Pendidikan Khas ialah pendidikan yang disediakan untuk kanak-kanak
yang keperluan khas. Pendidikan khas perlu diketahui oleh setiap lapisan
masyarakat, terutamanya para guru di sekolah. Ini penting bagi membantu para
guru mengenal pasti kanak-kanak yang mungkin menghadapi masalah dalam
pembelajaran yang dapat dikaitkan dengan faktor-faktor tertentu.
Kanak – kanak ini termasuklah golongan yang mempunyai masalah
penglihatan, pendengaran, serta yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan
pintar cerdas. Pengajaran dan pembelajaran program ini menggunakan teknik yang
bersesuaian dengan murid-murid khas. Ini termasuklah menggunakan sumber dan
peralatan khas untuk membantu pembelajaran murid- murid khas. Pendidikan khas
ini diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah
teknik atau vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran
secara pengasingan dan separa inklusif.
Menurut Chua (1992), Pendidikan Khas merujuk kepada program
pendidikan yang dirancang khas untuk pelajar-pelajar berkeperluan khas dari
segi intelek, fizikal, sosial atau emosi bagi mereka yang tidak mencapai
pertumbuhan dan penyuburan biasa hinggakan mereka tidak mendapat faedah
sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa. Mengikut Hallahan dan Kauffman
(2006) pula, Pendidikan Khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang
disediakan untuk memenuhi keperluankanak-kanak berkeperluan khas. Gargiulo (2003)
pula menyatakan Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang di
reka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan
penggunaan bahan-bahan peralatan dan kaedah pengajaran khusus.
Friend (2005) menyatakan Pendidikan Khas adalah pengajaran yang di
reka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang kurang upaya.
Pengajaran ini mungkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital
atau institut lain. Mansor (2005) Program Pendidikan Khas di Malaysia merupakan
satu usaha yang berterusan menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang
yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan
menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan
ahli masyarakat yang seimbang dan produktif.
Kesimpulannya, Pendidikan Khas boleh ditakrifkan sebagai suatu kaedah-kaedah
yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecacatan atau kekurangan upaya.
Pendidikan Khas juga merangkumi aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran,
latihan jasmani, dan sebagainya. Kurikulum untuk pendidikan khas ini telah
diubah suai dengan tujuan memenuhi keperluan-keperluan khas bagi murid-murid
yang mengalami pelbagai jenis kecacatan dan kurang upaya.